Friday, July 4, 2014

Bicara IKRAM Menjengah Ramadan Al Mubarak

Alhamdulillah, pada 28 Jun 2014 yang lalu bertempat di Pejabat IKRAM Daerah Miri telah berlangsung Program Bicara IKRAM. Program yang dianjurkan secara bulanan di Pejabat IKRAM Daerah Miri kali ini membawa topik Lambaian Ramadan, Kekuatan Ummah. Majlis ini telah diisi oleh Yang Berbahagia, al Fadhil Ustaz Ali Fathullah Harun, Mudir Madrasah Al Quran Bintulu.



Program Bicara IKRAM ini merupakan sebuah program keilmuwan dan bicara yang bertujuan untuk mengajak masyarakat bersama-sama dalam mengislahkan kehidupan seharian dengan amal Islam yang soleh. Di samping itu program bulanan ini juga menjadi ruang untuk IKRAM bersama-sama dengan komuniti setempat.




[gallery]

 

Antara intipati utama Bicara IKRAM tersebut ; 

  1. Dalam Al Quran, begitu banyak sekali Allah SWT menceritakan nikmat syurga. Namun mengapa kita masih belum dapat merasai kenikmatan tersebut sehingga kita masih lagi lengah dari mengejarnya?

  2. Dalam Al Quran, begitu banyak sekali Allah SWT mengulangkan ayat yang menggambarkan kedahsyatan hari akhirat. Namun mengapa kita masih belum gerun dan takut sehingga leka dengan kemaksiatan dan kemungkaran?

  3. Justeru Allah SWT turunkan bulan Ramadan. Salah satu sebabnya adalah untuk memudahkan manusia yakni hambaNya meraih keredhaanNya bagi mendapatkan syurgaNya.

  4. Mengapa setiap kali kita membaca ayat-ayat di mana Allah menyeru 'Wahai orang-orang beriman, Wahai orang-orang mukmin" kita masih belum merasai seolah-olah Allah SWT memanggil kita?

  5. Namun apabila kita diuji, menghadapi musibah, tidak semena-mena hati mengingati Allah. Iman menaik sepantasnya. Apakah masalah sebenar kita? Kita sebenarnya belum merasai bahawa kita adalah orang yang beriman.

  6. Pernahkah kita terfikir bahawa kita beriman adalah kerana izin Allah SWT yang memilih kita untuk termasuk dalam kalangan orang beriman? Justeru janganlah kita merasa berjasa dengan keimanan dan keislaman kita. Sewajarnya kita merasai kehinaan dan kelemahan diri bahawa seluruh kehidupan ini kita bergantung sepenuhnya pada ihsan Allah SWT.

  7. Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Menjadikan Sesuatu. Ingatkan kita bagaimana baginda Rasulullah saw menangis dan memohon pada Allah SWT agar diberikan hidayah pada pak ciknya namun sehingga ke akhir hayatnya, Abi Thalib tidak memeluk Islam. Allah Maha Mengetahui siapa yang layak dan siapa sebaliknya untuk menerima hidayah. Justeru apakah kita tidak beruntung?


 

Antara keistimewaan Ramadan al Mubarak

  • Orang yang banyak bangun malam memohon keampunan dari Allah SWT akan diampunkan dosanya.

  • Bau mulut orang yang paling busuk kerana berpuasa adalah seperti bau bunga kasturi.

  • Malaikat siang dan malam memohon pada Allah SWT agar manusia diampunkan dosa-dosanya.

  • Allah SWT menyeru syurga untuk menyambut hamba-hambaNya yang soleh

  • Siapa yang beramal dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan maka Allah akan ampunkan dosa-dosanya.


 

Ayuh bersama-sama kita meriahkan dan optimakan Ramadan ini sebagai bulan penyucian hati dan jiwa moga kita meraih keampunanNya dan maghfirahNya. Antara ciri orang muttaqin adalah amalannya berterusan selepas melalui madrasah Ramadan.

 

No comments:

Post a Comment